fbpx
Mohd. Khalid. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Perkukuh usaha rentas sempadan perangi sindiket dadah antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memperkukuh tindakan membanteras sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah rentas sempadan susulan penegasan Perdana Menteri mengenai kewujudan kartel besar yang dipercayai aktif membawa masuk dadah ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa memberi fokus terhadap pemantauan jaringan antarabangsa yang menggunakan laluan laut dan kontena kargo sebagai modus operandi penyeludupan.

“Antara kes terbesar melibatkan jaringan antarabangsa ialah rampasan 336 kilogram heroin oleh Australian Border Force (ABF) di Australia pada 13 Mac 2023, yang hasil siasatan mendapati kontena berkenaan dipercayai transit melalui Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke destinasi akhir di negara itu.

“Berikutan penemuan itu, PDRM menjalankan siasatan bersama dengan Australian Federal Police (AFP) dan hasil perbincangan, satu Pasukan Petugas Bersama (Joint Taskforce) dipersetujui semasa Persidangan Agung Interpol di Glasgow, Scotland pada 6 November 2024,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Khalid berkata, pasukan itu menumpukan operasi terhadap sindiket dadah transnasional antara Malaysia dan Australia.

Menurutnya, PDRM dan AFP berjaya merampas 33.2 tan syabu bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Klang pada 25 Januari 2025, dipercayai berasal dari Asia Tengah dan transit di Malaysia sebelum ke Australia.

“Pada 7 November 2025, pihak berkuasa turut merampas 45 kilogram syabu bernilai RM1.44 juta yang disembunyikan dalam ruang khas kontena kargo, juga dipercayai dari Asia Tengah dan transit di Pelabuhan Klang untuk dihantar ke Australia.

“Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan PDRM memperkukuh jaringan kerjasama risikan antarabangsa dalam usaha membanteras sindiket dadah berskala besar,” katanya.

Tambahnya, PDRM kini terus meneliti rangkaian dikenal pasti dan memperhebat tindakan susulan bersama agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara bagi mematahkan keseluruhan operasi sindiket berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN