KOTA TINGGI – Seorang peniaga kerugian sebanyak RM290,627 selepas terjerat dengan peluang pekerjaan tidak wujud melalui aplikasi Telegram.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa wanita berusia 56 tahun pada Jumaat lalu.
Katanya, mangsa melakukan sebanyak 22 transaksi pemindahan wang ke dalam 15 akaun penerima.
“Suspek menawarkan kerja menaikkan ‘rating’ dengan membeli gambar berharga RM1,000 sehingga RM1,600 dan akan mendapat pulangan komisen sebanyak 20 peratus untuk setiap gambar tersebut.
“Mangsa yang teruja dengan tawaran komisen yang tinggi bersetuju menerima pekerjaan itu sebelum dimasukkan di dalam kumpulan Telegram untuk membuat tugasan dan cara-cara pembelian gambar sehingga mencapai RM290,627.
“Dengan jumlah itu, mangsa dijanjikan akan menerima komisen sebanyak RM58,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa membuat laporan polis apabila menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan komisen, sebaliknya diminta menambahkan wang RM138,646 sebagai syarat untuk mengeluarkan komisen tersebut.- KOSMO! ONLINE















