ALOR SETAR – Seorang peniaga pakaian terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandung berusia 18 tahun.
Tertuduh berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.
Mengikut pertuduhan, dia yang mempunyai lima anak itu didakwa melakukan perbuatan persetubuhan yang diharamkan oleh agama dan undang-undang di rumah mereka di daerah Kubang Pasu pada pukul 9 pagi, 30 Oktober lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan sehingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada tertuduh selepas pihak pendakwaan mengemukakan permohonan dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 8 Disember ini. – KOSMO! ONLINE














