PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang melanda enam negeri sehingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perak melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
“Amaran ribut petir dijangka berlaku di Kelantan melibatkan daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman.
“Cuaca sama juga dijangka berlaku di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan,” katanya.
Sementara itu, MetMalaysia berkata amaran ribut petir diramal di Johor melibatkan Muar, Batu Pahat, Kluang dan Pontian.
Turut terlibat adalah Sarawak di Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis). – KOSMO! ONLINE















