LONDON – Pengendali Liverpool, Arne Slot digesa untuk menagih lebih sumbangan daripada pemain bintangnya, Mohamed Salah dalam usaha mengubah nasib pasukan itu yang terumbang-ambing musim ini.
Musim ini, Salah baru meledak lima gol dalam semua kejohanan termasuk empat jaringan di Liga Perdana Inggeris sekali gus menyaksikan Liverpool berdepan kesukaran paling hebat sejak 10 tahun lalu apabila tewas lima kali setakat ini.
Mereka sekadar berada di kedudukan kelapan apabila ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu, Arsenal selepas tewas 0-3 kepada Manchester City pada aksi terakhir sebelum cuti rehat aksi antarabangsa.
Bekas pemain Liverpool, Danny Murphy mengakui bahawa Salah perlu kembali menjalankan tugasnya dengan memberikan sumbangan kepada aspek bertahan selepas tidak melakukannya sejak musim lalu.
“Musim lalu ketika ditanya mengenai perbezaan gaya permainannya di bawah kendalian Slot pada musim pertama, Salah dengan tersenyum dan gembira mengakui dia tidak perlu bekerja keras membantu benteng pertahanan.
“Ya, situasi itu cukup baik jika kamu berjaya menjaringkan gol dan pasukan meraih kemenangan. Namun, situasi sekarang berbeza kerana ia membuatkan benteng pertahanan pasukan menjadi sangat rapuh,” katanya.
Salah dalam kenyataannya musim lalu mengakui bahawa Slot telah memberikan kebebasan kepadanya untuk memberikan tumpuan kepada membentuk serangan terbaik dan menjaringkan gol berbanding ketika zaman Jurgen Klopp apabila dia juga diperlukan ketika bertahan. – AGENSI














