JOHOR BAHRU – Meskipun usianya mencecah lapan dekad, namun semangat membara untuk menimba ilmu tidak pernah putus dalam diri bekas pegawai tentera pasukan elit 10 briged Para (Para) sekaligus menjadi seorang graduan Doktor Falsafah (PhD) paling tua menaiki pentas Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.
Dr. Kamarul Azman Jamaluddin, 79, berjaya menggenggam PhD dalam bidang Kaunseling dan Psikologi selepas 10 tahun menghabiskan masa diusia senja.
“Umur hanya sekadar angka, selagi kita bernyawa selagi itulah kita perlu menuntut ilmu. Walaupun usia saya sudah mencecah 80 tahun, semangat masih kental bagaikan masih berada di dalam kem tentera.
“Perjalanan PhD saya bermula pada 2015, bukan satu perjalanan yang mudah malah mengambil masa sembilan tahun akibat pelbagai tekanan termasuk masalah kewangan dan beban penulisan tesis, saya hampir putus asa nak berhenti daripada siapkan tesis,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kamarul Azman yang bersara pada tahun 1988 pada usia 42 tahun merupakan antara 732 graduan PhD yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah PhD pada Majlis Konvokesyen ke-69 UTM.
Tambah bekas Komander Rejimen Kereta Kebal itu, inspirasi terbesar untuk menyambung pelajaran datang daripada anak-anaknya sendiri apabila dua daripada mereka memasuki UTM bagi mengikuti pengajian dalam bidang seni bina.
“Terima kasih kepada empat anak serta 15 cucu serta isteri yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar terutamanya dalam penggunaan teknologi dalam menyiapkan tesis saya,”katanya.
Sementara itu, seorang lagi warga emas dari Flores, Nusa Tenggara Timur, indonesia, Dr. Abdul Hakim Ariffin, 67, turut merakam detik manis apabila berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Falsafah Arab.
Guru sementara di Maahad Tahfiz Arabic Al-Gontori, Rembau, Negeri Sembilan itu menekankan ilmu tidak mengenal usia, belajarlah sehingga ke laing lahad.
“Belajar bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk manfaat semua manusia. Dari kita lahir kita sudah belajar, menuntut ilmu itu tuntutan agama sehingga ke liang lahad,”kata yang sudah mengabdikan diri sebagai pengajar di Indonesia, Pakistan, dan Malaysia.
Selain menuntut ilmu, Abdul Hakim turut menekankan keutamaan menjaga kesihatan dan hati yang bersih, memaafkan kesalahan orang lain dan memupuk sikap positif, yang dikatakan kunci beliau kekal sihat sehingga kini.-KOSMO! ONLINE















