SHAH ALAM – Cubaan 30 warga asing menyeludup masuk ke negara ini dengan menggunakan bot pom-pom gagal selepas ditahan di persisiran pantai Sungai Pulai, Sabak Bernam dekat sini, semalam.
Kesemua warga asing termasuk wanita berusia 21 hingga 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan itu dilaksanakan hasil operasi Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam dan balai polis Sungai Besar.
Katanya, polis mengesan bot tanpa pendaftaran itu dalam keadaan mencurigakan menuju ke persisir pantai Sabak Bernam.
“Bot tersebut berjaya dipintas di kawasan persisiran pantai Sungai Pulai dan tekong telah diarahkan supaya berhenti.
“Hasil tindakan kita berjaya menahan seramai 21 lelaki dan sembilan wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pihaknya merampas dua buah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran. Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Polis Selangor akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bersama agensi berkaitan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















