PETALING JAYA – Rakyat Sabah wajar mempersoalkan para wakil rakyat negeri itu terutama yang pernah menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka perlu dipersoalkan mengapa rakyat Sabah terus bergelut dengan masalah asas ketika mereka berkuasa.
“Apa sebenarnya yang kalian lakukan ketika berkuasa, selain membiarkan rakyat kamu terus bergelut dengan masalah asas seperti air, elektrik dan jalan raya?
“Saya percaya orang Sabah cukup bijak untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar mahu bekerja menyelesaikan masalah warisan ini, bukan mereka yang hanya sibuk mengaut kekayaan untuk diri sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kempen PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini adalah tentang rekod kerja.
Menurut beliau, kempen PH adalah tentang apa yang dilaksanakan sepanjang tiga tahun gabungan politik itu mentadbir negara.
Kata beliau, sepanjang tempoh tersebut kira-kira RM15 bilion telah diperuntukkan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara)
Tambah beliau, kenaikan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah dilaksanakan buat pertama kali selepas 12 tahun.
Beliau berkata, gaji minimum pula telah dinaikkan kepada RM1,700 yang turut memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah.
Selain itu, kata Anwar, sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah ditunaikan dalam tempoh tiga tahun.
“Kerajaani Madani menaikkan Pemberian Khas Sabah kepada RM600 juta, yang tertinggi dalam sejarah dan kita nyatakan dengan jelas bahawa kadar ini hanya sementara.
“Matlamat kita adalah melaksanakan pemberian berdasarkan 40 peratus hasil selepas kadarnya dipersetujui Persekutuan dan Negeri.
“Rundingan rasmi mengenai perkara ini akan bermula Isnin ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE















