KEMAMAN – Seramai kira-kira 50 murid dan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Raudhatul Athfal berdepan detik cemas apabila premis tersebut tiba-tiba terbakar di Chukai, di sini, hari ini.
Kebakaran yang berlaku pada pukul 10 pagi itu dipercayai berpunca dari tingkat atas bangunan berkenaan.
Salah seorang guru Pasti tersebut, Nur Amyrah Salihah Mohd. Yusoff, berkata, sewaktu kejadian, kesemua 46 orang murid berusia empat hingga enam tahun sedang menikmati minum pagi di tingkat bawah.
“Kami yang berada di bahagian dapur terletak di tingkat bawah terkejut apabila dimaklumkan tingkat atas yang menempatkan empat kelas sedang terbakar oleh seorang penduduk kampung.
“Saya dan tiga guru lain terus segera bergegas membawa keluar murid-murid bagi menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Sementara itu Komander Operasi, Bomba Saariah Hassan berkata, seramai 18 anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Chukai di sini bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.09 pagi.
Beliau berkata, kebakaran tersembut memusnahkan 70 peratus premis Pasti Raudhatul Athfal.- KOSMO! ONLINE















