fbpx
Choupette

5 kucing terkaya dunia, kalah manusia!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA dahulu kucing dibela sebagai haiwan peliharaan yang menyerikan suasana di dalam rumah tetapi kini haiwan comel itu sudah dianggap sebagai anak dan teman baik. Keletah kucing yang comel dan manja mampu menggembirakan pemiliknya sekali gus membantu mengurangkan rasa kesepian.

Disebabkan itu, ramai yang menjadikan kucing sebagai teman paling rapat dan pemiliknya percaya ia mampu memahami setiap perasaan tuannya lantas menjadi tempat meluahkan perasaan paling selamat kerana rahsianya disimpan kemas. Betapa sayangnya pemilik kucing itu kepada haiwan peliharaannya sehingga ada yang mewariskan sebahagian harta kepada si bulus itu.

Di samping itu, kucing-kucing ini juga menjadi selebriti di laman sosial dan mencipta kekayaan sendiri. Berikut CitaRasa kongsikan lima kucing popular dan terkaya di dunia menurut Hindustan Times.

1- Choupette

MENDIANG pereka fesyen terkenal, Karl Lagerfeld adalah ‘bapa’ kepada kucing Birman yang cantik ini. Apabila Lagerfeld meninggal dunia pada 2019, Choupette mewarisi sebahagian daripada kekayaannya yang bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion).

Lagerfeld merupakan pereka fesyen legenda yang pernah bekerja di bawah jenama fesyen terkemuka dunia seperti Balmain, Patou dan Chloé, Chanel dan Fendi.

Bukan sahaja sedia menjalani kehidupan mewah yang disediakan oleh Lagerfeld, kucing ini juga muncul sebagai model untuk pelbagai jenama mewah termasuk Chanel dan Shu Uemura dengan nilai kekayaan (net worth) dianggarkan sekitar AS$13 juta (RM53 juta) hasil kerja kerasnya sekali gus menambah lagi kekayaannya.

2- Nala Cat

KUCING campuran Siam-Tabby dari California ini berasal dari tempat perlindungan haiwan dan ketika berusia lima bulan ia diambil sebagai haiwan peliharaan oleh Pookie Methachittiphan. Pada tahun 2012 Methachittiphan telah membangunkan profil Instagramnya dan kini Nala miliki 4.4 juta pengikut dan nilai kekayaan lebih AS$100 juta (RM413 juta).

Kucing itu juga memegang gelaran kucing paling banyak diikuti di Instagram oleh Guinness World Records pada Mei 2020. Populariti besar Nala turut meletakkannya dalam Senarai Forbes Pengaruh Teratas dalam kategori Haiwan Peliharaan pada 2017. Nala gunakan popularitinya dengan sebaik mungkin dan membina jenama dengan membangunkan barangan kucing premium, e-buku dan laman web.

3- Olivia Benson

DIMILIKI oleh penyanyi dan penulis lagu Taylor Swift memberi kelebihan besar bagi Olivia Benson yang ‘menumpang’ populariti selebriti itu.

Kucing ini mula dibela oleh Swift pada 2014 dan dinamakan sempena watak Mariska Hargitay dalam Law & Order: SVU. Menurut data pada 2023, Olivia mempunyai nilai bersih sebanyak AS$97 juta (RM400 juta).

Olivia telah menjadi sebahagian daripada pelbagai muzik video Taylor bersama adik-beradik kucingnya yang lain iaitu Meredith Grey dan Benjamin Button (tambahan terbaru kepada keluarga kucing Swift). Fakta yang tidak diketahui secara meluas ialah Olivia digelar ‘Dibbles’ dan dikenali dengan sikap tidak ambil peduli (nonchalant) berbanding adik-beradiknya.

4- Coffee cat aka Mr. White

KUCING British Shorthair ini terkenal dengan mata biru yang menyerlah dan bulu putih bersalji, merupakan pesakit kanser buah pinggang yang terselamat dan kini sedang melawan penyakit limfoma hidung. Dengan kira-kira 2.1 juta pengikut di Instagram, Mr. White memperoleh kira-kira AS$6,786 (RM28,000) untuk setiap hantaran (post) di media sosial.

Ia diambil sebagai anak angkat oleh saudara perempuan Pookie, Ping Methachittiphan keluarga sama yang membela Nala. Ia kerap muncul dalam rakaman foto bertema dan gambar bersantai yang selesa.

5- Venus

MEMPUNYAI wajah yang unik iaitu dua tona simetri yang sempurna sehingga Venus mendapat jolokan ‘kucing chimaera’. Ia adalah salah satu kucing yang paling menarik secara visual dan disayangi.

Sebelah mukanya berwarna hitam pekat dengan mata hijau dan sebelah lagi berwarna oren dengan mata biru. Venus mempunyai lebih dua juta pengikut merentas platform media sosial dan memperoleh kira-kira AS$6,770 (RM27,900) untuk satu hantaran di Instagram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN