fbpx
Tangkap layar luahan seorang anak penjamin yang menerima notis tuntutan hutang Mara sebanyak RM52,000 di Treads.

Rupanya ramai penjamin Mara tanggung hutang, peminjam berjoli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa terkejut dan kecewa apabila keluarganya menerima notis tuntutan hutang RM52,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedangkan pinjaman itu bukan miliknya, tetapi milik individu yang pernah dijamin oleh arwah bapanya 13 tahun lalu.

Menurut hantaran yang tular di media sosial, arwah bapanya menjadi penjamin kepada anak sepupunya yang bernama Johan, namun selepas bertahun-tahun pinjaman tidak dibayar, keluarga penjamin pula yang dipertanggungjawabkan.

“Dah 13 tahun dah, Johan. Bayar lah. Kau dah habis belajar, dah kerja gaji besar. Tapi kami yang kena tanggung. Menyusahkan orang betul,” tulis wanita yang menggunakan akaun yaye zaini,

Katanya lagi, kejadian tersebut benar-benar memberi kesan terhadap keluarganya kerana rekod penjamin boleh menjejaskan peluang anaknya sendiri untuk memohon pinjaman pendidikan di masa depan.

“Sebab itu saya ulang kepada anak saya yang belajar di MRSM bersyukur dapat peluang. Kalau ambil pinjaman nanti, bayar balik. Jangan jadi punca orang lain hilang peluang nak ubah hidup,” ujarnya.

Luahan tersebut mencetuskan perbincangan hangat dan membuka ruang kepada lebih ramai mangsa tampil berkongsi pengalaman sama, sekali gus membuktikan masalah itu lebih besar daripada yang dijangka.

Seorang lagi pengguna menceritakan bagaimana bapanya yang sudah bersara terpaksa menggunakan wang KWSP untuk melangsaikan baki hutang seorang peminjam lain.

“Peminjam tu siap boleh upload gambar cuti luar negara tiap tahun. Ayah saya pula kena korek KWSP sebab tak sampai hati biarkan nama dia buruk. Sakit hati bila fikir,” tulisnya.

Terdahulu, tular klip yang memaparkan Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ‘mengamuk’ apabila mendengar sendiri kisah penjamin yang dipaksa membayar hutang peminjam ingkar.

Dalam video berkenaan, Asyraf dilihat bertemu seorang pesara kerajaan yang terpaksa menanggung pinjaman pelajar setelah penjamin pertama meninggal dunia, sedangkan bekas pelajar tersebut hidup mewah, sering melancong dan sudah berjawatan besar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN