PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal dengan peniaga yang mengambil ruang parkir sekitar Cyberjaya hingga mengganggu pengguna jalan raya.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Shafiqahrosli, memaparkan beberapa gerai menjalankan jualan di petak parkir, sehingga menghalang kenderaan untuk meletakkan kereta.
“Boleh tak ambil tindakan peniaga yang meniaga di ruangan parkir kereta ini? Orang nak pickup anak petang-petang pun susah nak parkir,” ujarnya.
Difahamkan, tindakan peniaga tersebut mengganggu pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan ruang parkir demi menjana pendapatan.
Wanita tersebut mengaku masih ada gerai yang tidak mengambil ruang parkir dan tidak mengganggu aliran trafik kawasan berkenaan.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai penduduk turut berang dengan tindakan sesetengah peniaga yang tidak peduli dengan teguran demi menjana pendapatan.
“Kita bukannya marah mereka (peniaga) berniaga di situ, cuma bukalah gerai itu lewat sedikit. Kadang mengganggu penduduk nak ambil anak sekolah dan klinik,” komen @Kalmeetmin
“Bayangkan penat lelah berniaga mencari duit halal, tapi rupanya tak berkat kerana menyusahkan orang lain,” komen @Amrullh –KOSMO! ONLINE















