SINGAPURA – Seorang pelajar sebuah universiti di Singapura ditahan selepas dirakam berkeliaran di kawasan kampus dalam keadaan tanpa seurat benang, lapor portal berita VNExpress.
Kejadian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berlaku pada 9 November lalu.
Rakaman video kejadian yang disiarkan di media sosial menunjukkan pelajar lelaki terbabit berjalan di laluan joging tanpa memakai baju dan seluar.
Polis bergegas ke NTU selepas menerima aduan sekitar pukul 10.15 pagi (waktu tempatan) berhubung pelajar berkenaan di lokasi 110 Nanyang Crescent berhampiran Pusat Sukan dan Rekreasi.
“Pelajar berusia 22 tahun itu diberkas kerana berbogel di tempat awam. Tiada kecederaan dilaporkan,” kata polis, sambil mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalanklan.
Seorang jurucakap NTU berkata, pelajar berkenaan ditahan oleh pengawal keselamatan kampus sebelum diserahkan kepada polis.
“Kami komited untuk mengekalkan persekitaran kampus yang selamat dan dihormati,” kata jurucakap NTU. – AGENSI















