BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah berpeluang menambah koleksi kejuaraan musim ini selepas melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun.
Naib juara dunia itu menempah aksi final pada saingan Jelajah Dunia Super 500 tersebut selepas menewaskan wakil tuan rumah, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima menerusi aksi straight set 24-22, 23-21 di separuh akhir semalam.
Berdepan sokongan padu penyokong tuan rumah di Gimnasium Wilayah Kumamoto, anak-anak buah Rosman Razak itu mempamerkan aksi cukup tenang meskipun sedikit cemas ketika Matsumoto-Fukushima bangkit di penghujung set kedua.
Perlawanan itu hampir diheret ke set ketiga apabila beregu tuan rumah bangkit daripada ketinggalan 13-20 untuk menyamakan kedudukan 20-20, namun tuah memihak Pearly-Thinaah bagi meneruskan kemaraan ke final.
“Menjelang perlawanan akhir esok (hari ini), saya fikir kami hanya perlu melakukan persiapan terbaik. Kami perlu mengeluarkan permainan sendiri serta menikmati perlawanan,” kata Pearly selepas tamat perlawanan.
Menjelang perlawanan akhir hari ini, gandingan No. 2 dunia itu akan bertemu satu lagi beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang menewaskan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan 21-16, 21-11.
Atas kertas, Pearly-Thinaah dilihat tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan kerana pernah menewaskan beregu No.7 dunia berkenaan sebanyak enam kali dalam lapan pertemuan sebelum ini.
Justeru, mereka memiliki peluang cukup cerah untuk meraih gelaran ketiga pada saingan musim ini selepas turut memenangi kejohanan Terbuka Arctic bulan lepas serta Terbuka Thailand Mei lalu.
Sebagai rekod, aksi hari ini merupakan penampilan ketujuh Pearly-Thinaah di perlawanan akhir bagi kempen 2025, termasuk ketika menjadi naib juara pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE















