PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia yang berkembang sebanyak 5.2 peratus peratus pada suku ketiga 2025 meletakkan negara di landasan betul untuk mencapai paras tinggi sasaran pertumbuhan 2025 pada 4.0 hingga 4.8 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan.
“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi, kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
Kementerian itu memaklumkan ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2025 dipacu oleh prestasi kukuh merentas semua sektor.
Permintaan domestik yang berdaya tahan terus menjadi peneraju pertumbuhan meskipun berdepan halangan luaran dan ketidaktentuan global di samping kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan mencatatkan sebanyak 5.8 peratus (suku kedua 2025: tujuh peratus).
Jelas MOF, prestasi permintaan domestik itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta inflasi yang terkawal.
“Pada masa yang sama, usaha berterusan oleh kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta disokong oleh program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menyumbang kepada perbelanjaan pengguna.
“Pertumbuhan juga didorong oleh peningkatan eksport yang sebahagiannya mencerminkan impak aktiviti perdagangan yang dilakukan lebih awal,”ujar MOF.
MOF memaklumkan, bagi sembilan bulan pertama 2025, ekonomi berkembang sebanyak 4.7 peratus sekali gus membuktikan daya tahan dan asas negara yang kukuh dalam menghadapi cabaran global.
“Prestasi suku ketiga adalah selaras dengan petunjuk ekonomi yang bertambah baik termasuk pasaran buruh dengan jumlah guna tenaga meningkat 3.1 peratus kepada 17.0 juta orang, manakala pengangguran kekal pada kadar tiga peratus, paras sama yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.
“Selain itu, inflasi kekal pada 1.3 peratus, nilai jualan sektor pembuatan turut meningkat 3.5 peratus kepada RM500.1 bilion, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) juga naik sebanyak 4.9 peratus dan jumlah dagangan berkembang 3.7 peratus kepada RM769.8 bilion dengan lebihan dagangan RM50.3 bilion,” jelas MOF.
Kementerian itu turut memaklumkan dari segi imbangan pembayaran pula akaun semasa imbangan pembayaran mencatatkan lebihan sebanyak RM12.2 bilion atau 2.5 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang menunjukkan akaun barangan dan perkhidmatan yang berdaya tahan.
“Akaun perkhidmatan pula mencatatkan lebihan sebanyak RM0.7 bilion selepas 14 tahun merekodkan defisit.
“Prestasi suku ketiga itu turut sejajar dengan petunjuk ekonomi yang bertambah baik melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan aliran masuk bersih sebanyak RM8.5 bilion.
“Prestasi ringgit pula menyaksikan ringgit kekal stabil pada RM4.2070 berbanding dolar Amerika Syarikat iaitu meningkat sebanyak 0.1 peratus dan mengukuhkan kedudukan dalam kalangan mata wang berprestasi terbaik di Asia,” tambah kementerian itu lagi.-KOSMO! ONLINE.















