SKUAD Kuala Lumpur mengakhir kemarau lebih tiga dekad selepas menjuarai Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada aksi final di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menamatkan penantian skuad Warga Kota selepas kali terakhir menjuarai PERR pada edisi 1994.
Pada perlawanan itu, Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Zolkipli Samion Berjaya meraih gol hasil penyudah Suhaimi Abu yang memanfaatkan situasi kucar kacir benteng pertahanan ATM pada minit ke-43.
Bersambung separuh masa kedua, ATM enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal dalam misi memburu gol penyamaan dan berjaya melakukan beberapa siri asakan bahaya.
Peluang keemasan hadir pada masa kecederaan apabila ATM dihadiahkan sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Seherry Aladin sekali gus keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.
Kejayaan KL menjuarai PERR edisi ke-103 itu dianggap sebagai ‘penawar duka’ selepas tewas kepada Selangor dalam perebutan Piala Agong 2025 yang berlangsung bulan lalu. – KOSMO! ONLINE















