fbpx
Abdul Aziz Safwan menerima replika cek berjumlah RM6,990 diserahkan oleh Mohd. Na’im (kiri) pada Majlis Konvokesyen ke-18 KPMAIWP di Matrade, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

Kolej Profesional MAIWP pertama kali ‘lahirkan’ akauntan bertauliah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) mengorak langkah ke hadapan dengan buat pertama kali berjaya melahirkan tiga graduan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA) diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP), hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dengan ACCA yang diperolehi tiga graduan itu, mereka melayakkan diri untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai akauntan bertauliah.

“Pertama kali KPMAIWP mengeluarkan graduan profesional ACCA seramai tiga pelajar. Kita sedia maklum, ACCA ini sangat penting untuk menjadikan mereka akauntan bertauliah yang diiktiraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP di Pusat Pameran dan Konvensyen Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Seramai 361 graduan menerima diploma serta sijil masing-masing yang disampaikan oleh Mohd. Na’im, manakala seramai 14 graduan dianugerahkan dengan pelbagai kategori pada majlis itu.

Ia merangkumi seorang graduan dianugerahkan Anugerah Pingat Emas Menteri, seorang graduan dianugerahkan Anugerah Pengerusi MAIWP, dua graduan dianugerahkan Anugerah Pengerusi KPMAIWP dan 10 graduan dianugerahkan Anugerah Lembaga Pengarah (Anugerah Graduan Terbaik Program Diploma).

Mohd. Na’im berkata, seramai 14 penerima anugerah itu ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).

“Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju untuk berikan biasiswa penuh kepada pelajar cemerlang bagi meneruskan pengajian mereka di UCMI.

“Biasiswa ini untuk mereka meneruskan pengajian tanpa rasa risau sebab MAIWP berikan biasiswa penuh untuk melanjutkan dan menghabiskan pengajian,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas Menteri, Abdul Aziz Safwan Abdullah, 22, berkata, pemergian bapanya akibat Covid-19 pada tahun 2021 dan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memberangsangkan dijadikan sebagai pembakar semanagat untuknya belajar bersungguh-sungguh sepanjang bergelar mahasiswa KPMAIWP.

Menurutnya, usaha itu membuahkan hasil apabila dia yang juga graduan Diploma Pengurusan Industri Halal memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 dan kini berkhidmat sebagai pembantu inventori di sebuah syarikat swasta.

“Perancangan sambung belajar, jika ada rezeki saya berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang lain, misalnya bisnes. Saya cuba nak kembangkan lagi ilmu ke cabang lain,” katanya yang juga seorang hafiz 30 juzuk.

Menerusi Anugerah Pingat Emas Menteri, Abdul Aziz Safwan turut menerima tajaan pakej menunaikan umrah bernilai RM6,990 daripada Ikhlas.Com Travel Sdn. Bhd. berserta plak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN