PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu hari ini bagi menghadiri program dua hari sebagai usaha mendekati rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menerusi hantaran di media sosial Perdana Menteri, ketibaan beliau disambut pemimpin negeri serta masyarakat setempat sebelum memulakan siri pertemuan bersama pelbagai lapisan rakyat, termasuk komuniti bandar, luar bandar, belia dan kelompok strategik.
Menurut Anwar, kehadirannya kali ini bertujuan memahami lebih dekat denyut nadi rakyat Sabah serta memastikan setiap perancangan pembangunan memberi manfaat langsung kepada negeri itu.
“Semoga segala perancangan dipermudahkan dan membawa manfaat kepada rakyat Sabah yang sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya ringkas.
Kunjungan Perdana Menteri ini dilihat sebagai sebahagian daripada persiapan kerajaan perpaduan menghadapi PRN Sabah, dengan fokus kepada isu kos sara hidup, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan serta pengukuhan ekonomi negeri.
Difahamkan, Anwar akan menghadiri beberapa sesi libat urus, dialog rakyat, perjumpaan bersama pemimpin akar umbi serta lawatan ke beberapa kawasan tumpuan dalam tempoh dua hari di Sabah.- KOSMO! ONLINE.















