PETALING JAYA – Pemain industri pertukaran mata wang mendedahkan mereka menerima peningkatan pelanggan sebanyak dua kali ganda pada akhir tahun ini ekoran pengukuhan ringgit berbanding dolar sejak beberapa hari lalu.
Presiden Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia, Datuk Seri Jajakhan Kader Gani berkata, lonjakan itu dianggap sebagai double bonanza kerana pengukuhan ringgit secara konsisten berbanding sebelum ini.
Katanya, hujung tahun merupakan tempoh paling sibuk kerana jumlah pelanggan yang menukar mata wang meningkat.
“Setiap suku tahun keempat memang paling sibuk sebab ramai tukar duit. Tapi tahun ini berbeza sebab ringgit makin mengukuh. Kalau dibandingkan dengan suku kedua tahun ini, peningkatan adalah dua kali ganda.
“Kalau dibandingkan dengan suku tahun ketiga pula, peningkatan sebanyak 22 hingga 25 peratus,” katanya.
Menurut Jajakhan, antara mata wang negara yang paling banyak mendapat permintaan adalah Jepun, China, Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Tambahnya, ketika ini bekalan mata wang asing adalah mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi permintaan semasa.
“Kebanyakan pemain industri sudah bersedia dengan situasi ini kerana ia berlaku pada suku keempat setiap tahun,” katanya.
Ujar Jajakhan, tiada sebab untuk ringgit menjunam kerana ekonomi negara berada pada tahap yang terbaik ketika ini.
Mengulas mengenai pertukaran wang asing secara digital, Jajakhan berkata, ia tidak memberi kesan negatif kepada industri setakat ini kerana 80 peratus pelanggan gemar wang fizikal.
“Masih ramai guna wang fizikal. Sebab itu kaunter pengurup wang sesak,” katanya.














