GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan inisiatif Bantuan Cuti Sakit Kontrak (BCSK) kepada pegawai secara Lantikan Kontrak Interim (LKI) dan Contract of Service (CoS) menerusi Belanjawan Negeri Tahun 2026.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu merupakan langkah kebajikan tambahan untuk memastikan mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika menghadapi masalah kesihatan serius.
“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, pegawai LKI dan CoS yang disahkan tidak dapat bertugas atas sebab kesihatan dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan boleh dipertimbangkan bayaran bantuan dengan kadar bayaran bersamaan emolumen semasa pegawai.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan pegawai lantikan kontrak di samping menzahirkan prinsip tadbir urus berteraskan kesejahteraan, empati dan keadilan sosial dalam pengurusan sumber manusia sektor awam negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini petang tadi.
Menurut Kon Yeow, berkuat kuasa 1 Januari tahun ini, kerajaan negeri menerima pakai dasar pengambilan baharu penjawat awam secara LKI selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai makluman, tempoh LKI adalah selama tiga tahun atau sehingga kaedah baharu lantikan tetap berkuat kuasa, yang mana terdahulu. Memandangkan LKI ini adalah lantikan secara kontrak, tatacara semasa menetapkan bahawa pegawai LKI dan CoS hanya layak menikmati cuti sakit bergaji penuh selama 15 hari setahun.
“Pegawai yang memerlukan tempoh tambahan perlu memohon kebenaran tidak hadir bertugas atas sebab perubatan, yang mana tiada emolumen dibayar bagi tempoh berkenaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















