PETALING JAYA – Tindakan beberapa individu yang dipercayai menyalahgunakan kawasan tempat letak kereta percuma di Angkasapuri, Kuala Lumpur mencuri perhatian ramai apabila terdapat kenderaan didakwa dibiarkan berbulan-bulan tanpa dialihkan.
Menerusi perkongsian video di TikTok oleh @mat.charming, lelaki berkenaan berkata kemudahan parkir itu disediakan secara percuma tanpa memerlukan pas masuk bagi memudahkan orang ramai yang mempunyai urusan di Angkasapuri.
Bagaimanapun, terdapat beberapa individu yang pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjadikan kawasan itu sebagai tempat parkir tetap.
“Tengok ni, kereta dah berhabuk mungkin sudah berbulan letak di sini. Yang sebelah sana juga sama. Mustahil kalau cakap baru parkir di sini hari ni kalau habuk pun dah tebal,” katanya.
Menurutnya, tindakan meninggalkan kenderaan dalam tempoh lama menyukarkan mereka yang mempunyai urusan di bangunan tersebut.
Perkongsian itu turut menunjukkan beberapa buah kereta yang dipenuhi habuk, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial berhubung isu penyalahgunaan fasiliti awam itu.
“Tolonglah buat parkir berbayar. Saya dulu masuk kawasan parkir tak berbayar di tempat lain, semua penuh dengan kereta tersadai. Lepas saja mereka buat palang, terus banyak parkir kosong. Puas hati,” komen Raihan Ros.
“Parkir di Pantai Dalam memang padat. Banyak kereta rosak tersadai, sedangkan ada kereta lain yang terpaksa ‘double park’ sebab ada kereta buruk ni dah ambil parkir,” kata @azlinaithnin
“Kena buat palang. Mungkin boleh buat mereka yang boleh parkir situ cuma pekerja dan orang yang dapat kad akses saja yang boleh masuk,” komen Kim Luqman. – KOSMO! ONLINE














