fbpx
Gambar hiasan

Mahkamah tolak saman fitnah Rahim Tamby Chik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee, DAP dan syarikat portal berita Malaysiakini berhubung satu ulasan pada tahun 2018.

Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati Rahim selaku plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan-defendan berdasarkan prinsip imbangan kebarangkalian selain defendan berjaya membuktikan pembelaan justifikasi, komen adil serta laporan neutral.

Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata, selepas meneliti semua keterangan secara menyeluruh, kata-kata yang dipertikaikan itu memang membawa maksud fitnah yang lebih rendah, iaitu plaintif seorang tokoh yang bermasalah dari segi moral, dikaitkan dengan satu skandal serius dan tidak layak memegang jawatan awam.

“Namun, liabiliti tidak timbul kerana kenyataan itu berasas, pandangan yang diberikan dilindungi sebagai komen adil atas isu berkepentingan awam dan laporan defendan kedua dan ketiga berada dalam ruang lingkup liputan neutral,” katanya.

Dalam pada itu, mahkamah turut mendapati Malaysiakini tidak bertindak dengan niat jahat apabila portal itu terlebih dahulu membuang satu ayat dalam kenyataan Howard sebagai langkah berhati-hati dan menawarkan hak untuk memberikan maklum balas kepada plaintif, namun ditolak.

Perbicaraan kes saman itu berlangsung selama 10 hari dengan empat saksi dipanggil memberi keterangan termasuk Rahim.

Dalam tuntutan samannya, Rahim, 75, mendakwa kenyataan Howard memfitnah beliau dengan mengaitkannya semula kepada skandal pada tahun 1994.

Rahim menamakan Howard Mkini Dotcom Sdn Bhd (pemilik dan penerbit portal berita Malaysiakini), Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan dan pemegang jawatan DAP iaitu Tan Kok Wai, Gobind Singh Deo serta Lim Guan Eng sebagai defendan pertama hingga keenam.

Dalam saman difailkan pada tahun 2020 itu, Rahim mendakwa artikel berkenaan mengandungi tuduhan fitnah serius terhadapnya.

Plaintif juga menegaskan bahawa defendan sedar sepenuhnya bahawa artikel itu mengandungi kenyataan fitnah yang didakwa, dan bahawa defendan pertama serta DAP mengetahui bahawa tuduhan yang dibuat terhadapnya adalah tidak berasas, tidak benar dan palsu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI