PUTRAJAYA – Kerajaan mengaktifkan sepenuhnya kesiapsiagaan jentera membabitkan semua agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang bermula semalam.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, fasa awal MTL kali ini memerlukan tindakan lebih menyeluruh berikutan negara turut berdepan fenomena La Niña.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti 182 lokasi ‘hotspot’ banjir. Di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sebanyak 254 cerun kritikal telah dikenal pasti, manakala 1,768 stesen hidrologi telah disiap sediakan dan 614 unit siren amaran banjir bersedia untuk diaktifkan.
“Sebanyak 285 rumah pam juga telah disiapkan dan jumlah pam bergerak juga ditambah bagi menghadapi kemungkinan banjir. ,Beberapa empangan turut telah dikenal pasti berisiko melimpah sekiranya paras air melebihi tahap kritikal,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi berkata, tindakan intervensi segera akan diambil bagi menjamin keselamatan khususnya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan empangan dan anggota ATM telah bersiap siaga untuk digerakkan menerusi Ops Murni. – KOSMO! ONLINE














