PETALING JAYA – Dua lagi trak bantuan kemanusiaan dari Malaysia berjaya memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah sekali gus menambah jumlah agihan bantuan makanan kepada penduduk yang masih berdepan kekurangan bekalan asas meskipun pasca gencatan senjata diumumkan.
Pengurus Kanan Projek Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Halim Sakrani berkata, dua trak membawa 1,600 guni tepung dan 500 keluarga masing-masing sudah menerima satu guni tepung seberat 25 kilogram (kg).
Katanya, agihan telah dilakukan pada awal minggu lalu di beberapa kawasan penempatan dan kem sementara di Gaza.
“Di saat ini, pasca gencatan senjata, penduduk Gaza masih tidak menerima bekalan makanan yang cukup. Kemasukan trak yang membawa tepung ini dapat membantu mereka daripada kelaparan. Tepung juga merupakan makanan ruji penduduk Gaza, mudah disimpan, tahan lama dan mudah disediakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, meskipun gencatan senjata tercapai, namun pihak rejim Israel hanya membenarkan kira-kira 100 trak sahaja untuk membawa bantuan masuk ke dalam wilayah bergolak itu.
“Ini jelas bertentangan dengan perjanjian mereka di awal gencatan senjata bahawa 600 trak akan dibenarkan masuk setiap hari. Jumlah ini tidak cukup untuk menampung bekalan makanan penduduk Gaza,” katanya.
Sementara itu, Pengurus MyCare Gaza, Dr. Zaid Shehada berkata, keadaan rakyat di Gaza kini bertambah baik berbanding sebelum gencatan senjata, namun menegaskan mereka masih berdepan banyak cabaran berterusan.
“Keperluan kemanusiaan masih sangat besar. Walaupun jumlah bantuan semakin meningkat, kuantitinya jauh daripada mencukupi.
“Kira-kira 750 tan makanan sehari dibenarkan masuk, sedangkan keperluan sebenar sekitar 2,000 tan sehari, dan penghantarannya juga tidak berterusan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Israel masih mengawal ketat jenis barangan yang dibenarkan masuk.
“Jumlah lori masih terhad, dan kawalan ketat terhadap jenis barangan menyebabkan kekurangan terus berlaku. Harga barangan asas juga tidak mampu ditanggung kebanyakan keluarga,” katanya.
Terdahulu, MyCare berjaya membawa masuk 40 tan tepung dan 1,000 pek makanan bernilai RM360,000 di sekitar kem sementara di bandar Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut hampir 68,200 nyawa rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sekali gus menjadikan wilayah itu kini sebahagian besarnya musnah, dengan lebih dua juta penduduk hidup dalam keadaan serba kekurangan. – KOSMO! ONLINE














