ADIK bongsu saya masa kecil selalu sakit. Nenek saya telah menukar nama adik saya kerana menurut nenek, nama adik ‘terlalu berat’ dan tidak mampu ditanggung. Ternyata setelah menukar nama adik saya, dia tidak lagi sakit seperti dulu. Adakah kepercayaan ini berasas atau ia hanya kebetulan?
JAWAPAN: SOAL pemberian nama anak adalah satu perkara yang dititikberatkan oleh syarak. Ini kerana penamaan yang baik merupakan antara faktor dalam membentuk peribadi yang soleh pada diri seseorang itu. Berikut merupakan beberapa nas nabawi yang menunjukkan kepada hal tersebut. Daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.” (Riwayat Abu Daud, 4948)
Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut.
Antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah dengan katanya: “Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubung kaitnya dengan nama.
“Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri Baginda SAW.
“Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya.” [Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 250]
Disebabkan perkaitan inilah para ulama membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh imam Ibnul Qayyim di dalam fasal ketiga pada kitab beliau Tufhatul Maudud ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah. [Lihat Tuhfatul Maudud, hlm. 129]
Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadis riwayat Abu Hurairah RA: “Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya, ‘engkau memuji diri sendiri’, maka rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.”
Berdasarkan hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain yang terkait sekitar pemberian nama ini, para ulama telah mencapai kepada beberapa konklusi:
Pertama, kita dituntut untuk menukarkan nama seseorang kerana kejelikannya dan keburukannya [Lihat Tuhfatul Maudud, hlm. 133].
Contohnya ialah nama Abdul Ka’abah kerana nama tersebut terdapat unsur syirik padanya.
Kedua, begitu juga kita digalakkan untuk menukarkan nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya. Seperti nama Barrah dan Kharunnisa. Ini kerana Barrah bermaksud yang banyak membuat baik, manakala Khairunnisa bermaksud sebaik-baik wanita.
Ketiga, kita dituntut untuk mengelakkan nama yang boleh membawa kepada mempercayai sial.
Contohnya seperti nama Hazan yang bermaksud kesedihan, nama sebegini boleh membawa kepada mempercayai bahawa segala musibah yang ditimpa insan bernama Hazan ini adalah kerana namanya yang membawa kepada kesedihan. [Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/615]
Adapun berkaitan isu anak tidak mampu menanggung nama kerana nama tersebut berat dan sebagainya, kami tidak jumpai apa-apa penjelasan berasas di sebalik dakwaan tersebut. Bahkan kami khuatiri kepercayaan tersebut mempunyai unsur-unsur khurafat, ini kerana para ulama telah mentakrifkan khurafat.
Khurafat ialah sebuah kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudaratkan dan tidak bersesuaian dengan akal sejahtera dan realiti semasa. [Lihat al-Mazahib al-Fikriah al-Mu’asiroh, 2/1186]
Kepercayaan ini juga kami khuatiri bercanggah dengan akidah yang sejahtera yang wajib diimani kesemua Muslim iaitu hanya Allah SWT yang boleh beri manfaat atau mudarat.
Berpandukan hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa mempercayai sesuatu nama itu sebagai berat dan tidak mampu ditanggung seorang bayi adalah kepercayaan tidak didasari dengan bukti-bukti jelas, maka sebaiknya menjauhkan diri daripada kepercayaan ini.















