SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meneruskan pemberian subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) sebanyak RM30 sebulan kepada setiap murid daripada latar belakang B40 pada tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini melibatkan B40 dengan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 ke bawah.
“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntuk sejumlah RM5 juta khusus bagi menampung bantuan subsidi yuran KAFAI.
“Dengan adanya bantuan ini, beban kewangan ibu bapa dan penjaga dapat diringankan, manakala anak-anak pula dapat terus menikmati pendidikan agama Islam dengan sempurna tanpa sebarang kekangan,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menambah, usaha ini bukan sahaja melahirkan generasi celik al-Quran, malah membentuk anak-anak Selangor yang berakhlak mulia, berilmu dan berdisplin seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor negeri unggul dari sudut pembangunan rohani dan jasmani. – KOSMO!ONLINE














