MADRID – Seorang lelaki ditangkap kerana membaling telur ke arah bekas ketua persatuan bola sepak Sepanyol yang terpalit skandal, Luis Rubiales dalam majlis pelancaran bukunya di Madrid, lapor portal berita MailOnline semalam.
Bekas presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol itu digantung daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selama tiga tahun.
Sebelum ini, Rubiales didapati bersalah melakukan serangan seksual kerana mencium ketua pasukan bola sepak wanita negaranya, Jenni Hermoso tanpa persetujuan wanita berkenaan selepas skuad itu menang Piala Dunia Wanita 2023.
Ketika kejadian membaling telur itu, dia sedang memperkenalkan bukunya yang baharu berjudul Matar a Rubiales (Membunuh Rubiales).
Rakaman video yang dikongsi di media sosial memaparkan seorang penunjuk perasaan membaling sekurang-kurangnya tiga biji telur ke arah Rubiales.
Rubiales yang melompat dari tempat duduknya dan kelihatan cuba meluru ke arah penyerang sebelum dihalang oleh anggota keselamatan.
Sebiji telur terkena bahagian belakang jaket Rubiales ketika dia cuba mengelak, manakala sebiji lagi mengenai tangannya.
Difahamkan, Rubiales berlari mengejar penyerang yang memakai jaket bertudung, topi hitam dan fon kepala dalam usaha mengenal pasti individu tersebut.
Media Sepanyol AS mendakwa bahawa penyerang itu ialah bapa saudaranya sendiri, Luis Ruben Rubiales.
Penyerang tersebut kemudian ditangkap polis di luar bangunan dan pihak berkuasa masih belum mendedahkan identitinya. – AGENSI















