ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menyiasat seorang wanita yang didakwa mempunyai dua suami dipercayai terlibat dalam beberapa kesalahan syariah negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Abd. Ghani Zainuddin berkata, jabatan itu membuka tiga siasatan membabitkan wanita berkenaan yang kisahnya tular di media sosial sejak semalam.
“Siasatan turut dijalankan ke atas dua lelaki yang dikaitkan dengan wanita berkenaan. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan sudah bercerai namun masih menjalinkan hubungan dengan bekas suaminya itu. “Bagi kes itu wanita berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2024 (Khalwat),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, wanita berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 (menghina atau menyebab dipandang hina dll agama Islam).
“Kita juga menjalankan siasatan ke atas wanita berkenaan dan suami baharunya di bawah Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 berkaitan kesalahan berhubungan secara akad nikah yang dibaca bersama Seksyen 14 enakmen sama berkaitan perkahwinan seseorang perempuan,” jelasnya.
Akhbar ini melaporkan seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita dikahwini rupa-rupanya masih bergelar isteri orang. – KOSMO! ONLINE














