PADANG BESAR – Seorang pekerja pembersihan cedera dalam kebakaran Sekolah Kebangsaan Padang Melangit, di sini hari ini.
Mangsa melecur 30 peratus pada badan sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Mohamad Azhar Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.05 pagi tadi.
“Kebakaran melibatkan satu blok sekolah dengan lapan bilik darjah yang turut menempatkan stor serta beberapa bilik khas lain. Ketika kejadian tiada murid di blok tersebut.
“Anggota bomba mengalami sedikit kesukaran untuk memadam kebakaran disebabkan tekanan air rendah dan terpaksa menggunakan sumber air takungan sebelum lori tangki sampai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, operasi pemadaman dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Arau, Padang Besar, Kuala Perlis serta pasukan bomba sukarela.
Kebakaran dipercayai berpunca dari satu bilik stor sebelum merebak dan menyebabkan 90 peratus bangunan berkeluasan 557 meter persegi tersebut musnah. – KOSMO! ONLINE














