DI atas kertas, Harimau Malaya dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan rekod bersih dengan menewaskan pasukan ranking ke-180 dunia, Nepal pada aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, Selasa depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim percaya semua 27 pemain yang dipanggil kali ini tidak mempunyai masalah untuk sempurnakan misi yang ditetapkan oleh pengurusan skuad kebangsaan.
Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, Peter Cklamosvksi selaku ketua jurulatih sudah memanggil senarai terbaik yang diyakini mampu membantu pasukan menan di laman sendiri kali ini.
“Saya rasa semua 27 pemain yang dipanggil kali ini adalah yang terbaik ketika ini. Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, masih ada ramai pemain berkualiti yang kekal dan mereka mampu berikan sepenuh jiwa.
“Secara tradisi, saya rasa tiada masalah untuk kita kekalkan momentum kemenangan dalam saingan kelayakan Piala Asia berdasarkan rekod pertemuan yang cemerlang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Antara muka baharu yang diserapkan dalam skuad Harimau Malaya kali ini adalah pemain Kuala Lumpur City, Ryan Lambert dan penyerang NSFC, Luqman Hakim Shamsudin.
Skuad Harimau Malaya ketika ini masih gah mendahului carta Kumpulan F saingan kelayakan selepas melakar empat kemenangan dengan menewaskan Nepal, Vietnam dan Laos (dua kali) sebelum ini.
Sebagai rekod, kem skuad kebangsaan menerima tamparan hebat selepas dibelenggu isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan baharu sehingga digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), September lepas.
Situasi itu menyaksikan status kelayakan skuad negara ke Piala Asia menjadi persoalan selepas potensi hukuman yang bakal dikenakan terhadap Harimau Malaya pula akan ditentukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).














