PETALING JAYA – S P Setia Berhad mengumumkan peningkatan jualan sebanyak 78 peratus tahun ke tahun pada suku ke-3 2025, berjumlah RM1.59 bilion berbanding RM894 juta yang dicapai dalam tempoh sama tahun lalu.
Momentum jualan turut meningkat dari suku ke suku, didorong oleh sumbangan daripada transaksi tanah, manakala jualan pembangunan kekal stabil apabila Kumpulan secara progresif melaksanakan pelancaran hartanah baharu sepanjang tahun.
Bagi tempoh sembilan bulan, jualan berjumlah RM3.49 bilion tahun ini, berbanding RM3.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Projek domestik menyumbang RM2.91 bilion, mewakili kira-kira 83 peratus daripada jumlah jualan didorong oleh sumbangan dari Wilayah Selatan dan Tengah yang masing-masing berjumlah RM1.25 bilion dan RM1.48 bilion.
Projek antarabangsa Kumpulan pula menyumbang RM577 juta, atau 17 peratus daripada jumlah jualan.
Kumpulan turut mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.59 bilion dan mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM498 juta, kebanyakannya disumbangkan oleh pembangunan tempatan.
S P Setia juga terus mengurangkan pinjamannya, dengan nisbah gear bersih semasa sebanyak 0.35 kali, sejajar dengan strategi pengurangan hutang Kumpulan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaini Yusoff berkata, prestasi itu merupakan bukti komitmen teguh pihaknya untuk menyediakan produk berkualiti dan mengembangkan portfolio.
“Kami menyedari cabaran pasaran dan kekal optimis, namun tetap berhati-hati ketika meneroka peluang untuk mengukuhkan jejak merentasi segmen pertumbuhan tinggi yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














