KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengesahkan telah menerima RM1.08 bilion royalti petroleum bagi tahun ini daripada kerajaaan Persekutuan namun ia cuma 66.44 peratus daripada unjuran asal iaitu RM1.63 bilion.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hanya 53 peratus atau RM583 juta royalti petroleum tersebut disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri, manakala selebihnya pula diuruskan agensi Persekutuan.
“Bagi tahun 2024, kerajaan negeri Terengganu hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan (unjuran asal) royalti (minyak) berjumlah RM1.5 bilion.
“Hampir separuh tidak diserahkan terus menyebabkan Terengganu kehilangan autonomi terhadap hampir separuh hasil royalti petroleum,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, senario yang berlaku sejak pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tersebut telah menjejaskan perancangan kerajaan negeri terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat Terengganu.
Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu hanya dibenarkan mengurus sekitar 50 peratus hasil royalti petroleum sejak tahun 2023. – KOSMO! ONLINE













