fbpx
Anugerah Media Perkeso 2025 meraikan sumbangan rakan media menerusi lapan kategori anugerah. FOTO: MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Perkeso raikan rakan media dalam Anugerah Media iLINDUNGu 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menzahirkan penghargaan atas sumbangan besar dalam menyebarkan maklumat berkaitan perlindungan sosial menerusi penganjuran Anugerah Media Perkeso 2025 iLINDUNGu kepada rakan-rakan media, malam ini.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata majlis berkenaan bukan sekadar acara penghargaan, sebaliknya pengiktirafan kepada peranan penting media dalam membantu membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan sosial.

“Malam ini amat istimewa kerana meraikan simbiosis yang kuat antara Perkeso dan dunia kewartawanan dalam memperjuangkan nasib pekerja dan golongan yang memerlukan perlindungan sosial,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut Subahan, sejak penubuhannya pada tahun 1969, media telah menjadi instrumen utama dalam menyebarkan maklumat mengenai skim perlindungan, inisiatif serta hebahan kepada pencarum dan waris penerima faedah.

“Sejak 2020, lebih 300,000 liputan media direkodkan di pelbagai platform termasuk media sosial dalam menyalurkan laporan yang memberi inspirasi dan harapan,” jelasnya.

Menurutnya, karya-karya yang dihasilkan bukan sekadar laporan berita, malah menggambarkan kisah pekerja, keluarga dan pesakit yang mendapat manfaat daripada perlindungan Perkeso.

Anugerah Media Perkeso 2025 iLINDUNGu turut menonjolkan tema sosial seperti Return to Work (RTW), LINDUNG Kendiri, LINDUNG Kasih dan kesejahteraan pekerja, selaras dengan matlamat Perkeso membina ekosistem perlindungan sosial yang lebih inklusif dan mampan.

“Media adalah mata dan telinga masyarakat. Setiap inisiatif Perkeso dapat disampaikan kepada golongan sasaran, terutama mereka yang masih belum diLINDUNGi,” katanya.

Sebanyak tujuh kategori pemenang yang dinobatkan pada malam ini atas dedikasi serta komitmen dalam bidang kewartawanan.

“Kemenangan ini adalah pengiktirafan atas dedikasi anda semua. Semoga kerjasama antara Perkeso dan media akan terus utuh demi membina masyarakat Malaysia yang lebih sejahtera dan dilindungi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI