HULU TERENGGANU – Seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di surau lelaki Pejabat Kastam Tasik Kenyir di sini semalam.
Sewaktu kejadian, mangsa, Ahmad Zaidi Ibrahim, 54, yang bertugas di Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, di sini dikatakan sedang menunggu waktu asar untuk menunaikan solat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu serangan jantung berlaku, Ahmad Zaidi dikatakan mengeluarkan bunyi dengus kuat yang disedari seorang pekerja am wanita kebetulan berada di luar surau berkenaan.
“Wanita terbabit yang mengesyaki sesuatu segera membuka pintu surau sebelum ternampak mangsa tersembam di lantai surau.
“Dia yang panik segera meminta bantuan orang ramai yang berada di lokasi berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Sharudin berkata, pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan Ahmad Zaidi telah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat penjawat awam tersebut kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.
“Hasil bedah siasat mengesahkan salur darah jantung tersumbat sebagai punca kematian mangsa.
“Mayat lelaki itu kemudiannya telah dituntut keluarganya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














