NEW DELHI – Sebuah majlis perkahwinan di India kecoh apabila tetamu yang dijemput oleh keluarga pasangan pengantin berbalah kerana berebut ayam goreng, lapor stesen penyiaran NDTV.
Majlis perkahwinan itu berlangsung di Bijnor, negeri Uttar Pradesh, baru-baru ini.
Situasi itu didakwa tercetus apabila sekumpulan tetamu berkumpul di kaunter hidangan ayam goreng sehingga menyebabkan kesesakan.
Pertelingkahan kecil menjadi besar apabila kedua-dua pihak mula menyerang antara satu sama lain dengan menolak dan melemparkan tumbukan.
Seorang saksi berkata, kebanyakan wanita dan kanak-kanak terperangkap dalam kekecohan tersebut.
“Seorang pesakit jantung mengalami cedera parah. Dia dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Kami datang untuk meraikan perkahwinan tetapi keadaan menjadi kelam-kabut apabila tetamu berebut ayam goreng,” katanya.
Majlis diteruskan sehingga selesai di bawah kawalan pihak berkuasa. – AGENSI















