fbpx
SEORANG wanita menggunakan telefon bimbit di Moscow pada 30 Julai lalu. – AFP 

Kebebasan internet di Amerika, Jerman merosot 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Kebebasan internet di Amerika Syarikat dan Jerman merosot apabila kerajaan-kerajaan demokrasi Barat menyertai negara-negara kuku besi dalam melaksanakan  sekatan lebih ketat terhadap kandungan dalam talian, demikian menurut kajian Freedom House hari ini.

Kumpulan penyelidikan pro demokrasi berpangkalan di Washington itu berkata,  kebebasan internet global merosot untuk tahun ke-15 berturut-turut dan kali ini, turut melibatkan negara-negara  yang masih diklasifikasikan sebagai ‘bebas’.

“Kami mendapati penindasan (internet) semakin teruk di negara-negara  autoritarian dan cenderung autoritarian, sebahagian besarnya kerana kerajaan negara-negara ini melihat sekatan ke atas internet dan ekspresi dalam talian sebagai cara untuk mengekalkan kuasa.

“Lebih spesifik kepada 2025, kami melihat kebebasan dalam talian di negara-negara  demokrasi juga merosot

“Lebih malang, seluruh Amerika Utara dan Eropah Barat secara umumnya, wujud trend ke arah menutup ruang pendapat awam di beberapa negara,” kata salah seorang pengarang laporan itu, Kia Vesteinssonn  .

Amerika Syarikat (AS) mencatatkan skor 73 pada skala 100 untuk kebebasan internet dalam tempoh setahun berakhir Mei 2025 sekali gus markah terendahnya dan turun tiga mata berbanding  tahun sebelumnya.

Laporan itu merujuk kepada penahanan sejumlah warga bukan AS oleh pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung ekspresi dalam talian mereka.

Setiausaha Negara Marco Rubio turut berikrar akan mengusir orang awam yang memuat naik kenyataan negatif mengenai Israel, keputusan yang kini  dicabar di mahkamah AS.

Jerman juga menyaksikan penurunan tiga mata kepada 74. Freedom House berkata, Jerman menyaksikan peningkatan penapisan kendiri dan juga penguatkuasaan undang-undang yang melarang ucapan kebencian serta fitnah secara berlebihan.

Ia merujuk kepada hukuman penjara dan denda yang dikenakan ke atas editor laman web berhaluan kanan atas siaran media sosial untuk mengkritik ahli politik.

Kemerosotan paling teruk dalam laporan itu dicatatkan oleh Kenya, yang menutup internet seketika sebagai tindak balas kepada protes di seluruh negara, serta Venezuela dan Georgia.

Bangladesh pula menyaksikan peningkatan kebebasan  terbesar, apabila kerajaan baru dibentuk selepas pemberontakan pelajar melonggarkan sekatan internet di negara itu. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI