ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM2.55 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia merupakan belanjawan surplus yang berteraskan prinsip amanah dan kesejahteraan rakyat, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.
“Setiap sen hasil negeri akan dibelanjakan secara berfokus, telus dan memberi manfaat langsung kepada Bangsa Johor.
“Keutamaan diberikan kepada sektor-sektor yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk pendidikan dan TVET, kesihatan, perumahan, infrastruktur luar bandar serta kesejahteraan sosial,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata, keutamaan tersebut turut disokong dengan pelaksanaan pelbagai program berskala besar di bawah Enam Teras Maju Johor, yang menjadi tunjang kepada strategi pembangunan negeri menuju 2030.
Tambahnya, Belanjawan 2026 bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negeri, tetapi turut menzahirkan nilai tanggungjawab moral dan sosial terhadap rakyat.
“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan nyata dalam bentuk kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran yang dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE














