fbpx
Mohd. Fauzi.

Insentif khas RM1,000 cerminkan keprihatinan kerajaan Johor terhadap pengamal media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pemberian insentif khas RM1,000 kepada setiap pengamal media berdaftar di bawah Kelab Media Johor (KMJ) disifatkan sebagai bukti pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026 hari ini.

“Insentif berjumlah RM200,000 itu menjadikan Johor sebagai negeri pertama di negara ini memperuntukkan bantuan khas kepada pengamal media dalam pembentangan belanjawan negeri.

“Langkah ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap sumbangan media yang menjadi tulang belakang penyebaran maklumat sahih serta pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Fauzi berkata, pemberian itu juga akan memperkukuh hubungan komunikasi antara rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri menerusi penyampaian berita yang tepat, pantas dan beretika.

Katanya lagi, pengiktirafan itu menjadi suntikan semangat kepada warga media untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menyalurkan maklumat berkaitan Johor kepada masyarakat.

“Insentif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol hubungan erat dan saling menghargai antara kerajaan negeri dan komuniti media di Johor,” ujarnya.

Pada masa sama, KMJ turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin, atas komitmen dan kerjasama erat beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan pengamal media.

Mohd Fauzi berkata, KMJ akan terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh peranan media sebagai medium penyampai maklumat yang berintegriti kepada rakyat.

“KMJ komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam menjayakan setiap agenda pembangunan dan kemajuan Johor,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI