NILAI – Tular di media sosial luahan seorang wanita yang mendakwa adiknya menjadi mangsa cabul oleh individu berpakaian gelap ketika pulang dari kerja di sekitar kawasan Surau Mahabbah, Desa Indah di sini dipercayai berlaku, malam tadi.
Menerusi perkongsian pengguna akaun Threads, @meuwneurah, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri sebelum dihampiri suspek berpakaian serba gelap yang turut menunggang motosikal lain.
“Tadi adik saya baru balik kerja, nangis-nangis cerita dia kena cabul masa dalam perjalanan pulang. Lelaki tu tiba-tiba datang rapat, pegang dada dia, lepas tu terus lari,” tulisnya.
Menurutnya, kejadian berkenaan bukan yang pertama apabila pihak polis memaklumkan sudah terdapat lebih 10 kes serangan serupa dilaporkan di sekitar Nilai termasuk di kawasan Mantin, Semarak dan Nilai Perdana.
“Suspek dipercayai menukar motosikal setiap kali melakukan jenayah, termasuk menggunakan jenis LC, Kriss dan Y15, serta memilih kawasan gelap tanpa kamera litar tertutup (CCTV) sebagai lokasi sasaran.
“Polis cakap pelaku ni dah lama buat kerja dia. Ada pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pun pernah kena. Dia sasar perempuan yang jalan atau naik motosikal berseorangan, terutama waktu malam,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita turut berkongsi pengalaman cemas apabila diekori lelaki bermotosikal ketika berhenti di lampu isyarat di Nilai Perdana, seperti dikongsikan pengguna akaun @syzwanialia di media sosial.
“Kita pun baru-baru ni ada juga. Kena dekat trafik light Nilai Perdana. Nasib tak jatuh motor, terkejut terus laju bawak motor nak sampai rumah, sampai tak sempat tengok nombor plat sebab panik sangat,” tulisnya.
Sementara itu, Kosmo! sedang berusaha mendapatkan kenyataan polis mengenai kejadian ini untuk pengesahan. – KOSMO! ONLINE














