SINGAPURA – Dua lelaki warga Malaysia ditahan di Singapura kerana menyamar sebagai pegawai kerajaan dan memperdaya seorang wanita untuk membeli emas bernilai lebih S$412,000 (RM1.44 juta), lapor portal berita VNExpress.
Mangsa dilaporkan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mengaku sebagai pegawai bank dan memaklumkan tentang kad kredit yang menggunakan namanya.
Selepas menafikan dakwaan itu, panggilan kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai wakil Kementerian Undang-undang dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).
Individu tersebut mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum menghantar pas pekerja palsu dan dokumen sokongan melalui aplikasi WhatsApp untuk meyakinkan mangsa.
Selain diarah untuk memindahkan S$1 juta (RM3.5 juta) dari akaun bank ke kad kredit tersebut, mangsa dipaksa membeli emas bernilai lebih S$412,000 di Mustafa Centre, Little India lalu diserahkan kepada individu tidak dikenali pada hari yang sama.
Kedua-dua suspek berusia 22 dan 38 tahun itu ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ditugaskan oleh individu tidak dikenali yang menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan rentas sempadan untuk mengutip wang tunai dan barangan berharga daripada mangsa,” kata polis. – AGENSI














