KUALA LUMPUR – Dakwaan konon wujud rangkaian akaun palsu dalam media sosial semata-mata untuk menyebarkan persepsi positif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak benar.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penyedia platform media sosial Meta
malah telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa tiada aktiviti abnormal seperti itu dikesan di laman Facebook Perdana Menteri.
“Saya selalu cakap memang banyak akaun palsu diwujudkan untuk promosi `scam’ dan laporan daripada Reuters juga mengesahkan 10 peratus keuntungan yuran pengiklanan dibayar oleh `scammer.
“Tetapi dalam kes ini Meta sudah keluarkan kenyataan tiada aktiviti-aktiviti abnormal, jadi saya rasa kita perlulah menerima kenyataan tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada kerajaan akan memanggil media yang mendakwa wujud rangkaian tentera siber terdiri daripada 263 akaun palsu untuk menaikkan sokongan terhadap Perdana Menteri di media sosial.
Terdahulu, Nie Ching berkata, kerajaan tidak memanggil media yang membuat dakwaan tersebut untuk memberi keterangan kerana kerajaan menghormati kebebasan media.
Menurut beliau, walaupun kerajaan kurang bersetuju terhadap kandungan artikel diterbitkan, tetapi tidak semestinya media perlu sentiasa dipanggil memberi keterangan.
“Kita kurang setuju, (maka) kita (kerajaan) menyatakan pendirian kita dan tak semestinya tiap-tiap kali panggil mereka (media) untuk rekod kenyataan.
“Kalau kerajaan ambil tindakan panggil untuk rekod kenyataan, saya percaya sebelah sana (pembangkang) juga yang akan tuduh kerajaan tidak hormat kebebasan media,” katanya. – KOSMO! ONLINE














