fbpx
Hussein. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

Lelaki kantoi bawa dadah di Thailand disyaki terlibat sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Siasatan polis mendapati rakyat Malaysia yang ditahan bersama 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin di Thailand, baru-baru ini dipercayai mempunyai rangkaian sindiket di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang dipercayai terbabit dalam rangkaian tersebut.

“Dipercayai (suspek) ada rangkaian di Malaysia. JSJN sedang mengenal pasti dan mencari rakan-rakan yang (dipercayai terbabit) dalam sindiket,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, lelaki dari Sungai Petani, Kedah itu masih ditahan pihak berkuasa Thailand dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga masih menunggu keputusan untuk membawa pulang suspek ke negara ini bagi tindakan lanjut.

“Kita tunggu keputusan kes di Thailand (sebelum sebarang tindakan diambil),” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ ditahan dalam sekatan jalan raya di Selatan Thailand.

Tangkapan itu hasil operasi PNSB Polis Diraja Thailand bersama Polis Wilayah Chumphon pada pukul 11.40 pagi di Mukim Hong Charoen, Daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon.

Pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek menemui ruang rahsia di bahagian belakang. Pemeriksaan menemukan bungkusan plastik berisi ketamin seberat 75kg bernilai lebih 70 juta baht (RM9 juta).

Suspek mendakwa dia tidak mengetahui kandungan bahan terlarang tersebut dan menyatakan diupah oleh individu tidak dikenali untuk memandu kereta dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI