LANGKAWI – Insiden bot membawa kira-kira 70 migran termasuk etnik Rohingya yang karam ketika menuju ke perairan negara menunjukkan Langkawi kekal sebagai destinasi popular pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan data Maritim Malaysia (APMM), hampir 2,300 individu ditahan sepanjang pengawasan agensi itu di perairan ini sejak 2010.
“Perkara ini akan kita uruskan dengan cermat terutama apabila kita sedia maklum bahawa Langkawi kekal sebagai satu destinasi pendaratan yang popular apabila melihat daripada segi angka-angka pendaratan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di sini hari ini.
Katanya, perairan Langkawi menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik dan terletak berdekatan dengan kawasan daratan di sebelah Thailand iaitu kira-kira lima batu nautika sahaja.
“Modus operandi daripada segi pergerakan, mereka mungkin memulakan perjalanan dari kampung mereka, di mana mereka dinyahkan atau kem pelarian. Kena ingat insiden ini bukan insiden yang kita anggap terpencil, ia ada satu ekosistem.
“Kalau di negara itu tidak ada kestabilan, ada isu daripada segi cabaran kemanusiaan akan wujud push factor, jadi mereka yang terlibat akan memilih untuk keluar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan migran berkenaan dibawa menggunakan bot induk dan dipindahkan ke bot-bot kecil ketika menghampiri sempadan perairan negara atau Thailand.
“Sekarang ini November dan Disember, Januari, Februari dan Mac adalah Monsun Timur Laut dengan gelombangnya besar. Kalau daripada keterangan awal mangsa, maklumatnya sama iaitu ombak besar tenggelamkan bot.
“Insiden itu berlaku dan kemudian kita percaya arus membawa mereka ke kawasan (perairan) kita,” jelasnya.
Beliau pada masa sama menggesa pihak berkuasa termasuk APMM, polis dan Pasukan Polis Marin untuk terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan masing-masing dalam mengekang kemasukan PATI ke perairan negara.
Sementara itu, katanya, setakat pagi ini seramai 34 migran ditemukan di perairan ini dengan 14 dijumpai terselamat, manakala 20 lagi sudah meninggal dunia.
“Fokus utama kita sekarang adalah mengesan mangsa yang masih selamat, nyawa adalah keutamaan kita. Jika jumpat mayat, mayat itu juga ada hak untuk dihormati dan mesti diuruskan dengan baik,” katanya.
Tambahnya, agensi berkaitan menggunakan peralatan canggih bagi mengesan aliran arus laut, sekali gus mampu menjangkakan lokasi mangsa dihanyutkan.
“Operasi akan diteruskan sehingga tempoh yang dianggap munasabah sebelum kita umumkan penamatannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














