fbpx
Shamsul Azri ketika melawat reruai pada Majlis Pelancaran Rasmi Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Kriptografi Pasca-Kuantum di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Keselamatan digital diperkukuh melalui penganjuran ICE-PQC 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Keselamatan siber bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal kepercayaan negara, kestabilan ekonomi dan kedaulatan.

Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perjalanan keselamatan siber Malaysia sentiasa berteraskan kerjasama, strategi dan pandangan jauh justeru di dalam era kuantum, kepercayaan itu perlu berevolusi.

Beliau berkata, dalam era digital masa kini, negara sedang melalui zaman di mana kuasa pengkomputeran bukan lagi diukur melalui kelajuan atau storan semata-mata, tetapi melalui potensi kemungkinannya.

“Teknologi kuantum menjanjikan pencapaian besar yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil, namun seperti setiap lonjakan teknologi, ianya turut
membawa implikasi besar terhadap keselamatan negara, privasi dan kepercayaan.

“Visi Malaysia terhadap ketahanan kuantum-selamat dibina berdasarkan tiga tonggak utama iaitu penjajaran strategik, kepimpinan teknologi dan kesediaan manusia yang mana semuanya menjadi tulang belakang pendekatan nasional terhadap kriptografi pasca-kuantum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Kriptografi Pasca-Kuantum (ICE-PQC 2025), Pelan Migrasi PQC Kebangsaan 2025–2030 serta Program POC PQC Inisiatif Sandbox 2025 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Sementara itu, Shamsul Azri turut menjelaskan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM25 juta melalui Belanjawan 2025 kepada UPM untuk menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) sebagai pusat strategik nasional bagi penyelidikan, pembangunan dan penyelarasan kriptografi negara dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara dalam memacu kedaulatan digital serta memperkukuh keselamatan siber negara dalam menghadapi cabaran era komputer kuantum.

“Pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan 2025–2030 di bawah penyeliaan NACSA menjadi panduan strategik bagi memastikan peralihan sistem kriptografi negara berlaku secara selamat dan selaras dengan piawaian antarabangsa,” jelasnya.

Katanya, langkah itu turut memperkukuh usaha membina kepercayaan digital negara yang berdaya tahan, sekali gus meningkatkan keyakinan global terhadap keselamatan digital Malaysia.

Persidangan ICE-PQC 2025 menampilkan pelbagai sesi utama termasuk pembentangan akademik, forum teknologi dan pameran industri oleh syarikat
tempatan serta antarabangsa yang memperkenalkan penyelesaian terkini dalam bidang keselamatan digital dan kriptografi pasca-kuantum.

Antara topik utama yang dibincangkan ialah pembangunan ekosistem keselamatan siber berdaya tahan kuantum di Malaysia, strategi peralihan kepada algoritma kriptografi baharu yang diiktiraf National Institute of Standards and Technology (NIST), serta langkah membina dasar dan polisi keselamatan digital negara berasaskan PQC.

Persidangan ini turut menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan, industri dan akademia serta memperkenalkan kepada masyarakat tentang potensi besar teknologi PQC sebagai lapisan pertahanan siber masa depan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI