WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa kapal pengangkut pesawat, USS Gerald R Ford telah memasuki kawasan kawalan Pusat Pemerintahan AS yang meliputi Amerika Latin dan Caribbean, lapor akhbar The Guardian semalam.
Penempatan kapal pengangkut pesawat terbesar dan terbaharu dunia itu turut membawa beberapa kapal pemusnah. Ia menandakan berlakunya peningkatan ketegangan ketenteraan antara AS dan Venezuela.
Kapal induk AS itu menyertai beberapa kapal perang lain, sebuah kapal selam berkuasa nuklear dan sejumlah pesawat yang berpangkalan di Puerto Rico. Ia membentuk kehadiran tentera AS terbesar di rantau tersebut dalam tempoh beberapa dekad.
Presiden AS, Donald Trump berkali-kali mempertahankan langkah peningkatan ketenteraan besar-besaran itu sebagai sebahagian daripada perang menentang kegiatan penyeludupan dadah.
Kehadiran tentera AS itu dikatakan adalah untuk memerangi penyeludup-penyeludup yang didakwa membawa narkotik melalui perairan Caribbean dan Pasifik.
Kempen itu turut merangkumi serangan udara terhadap bot-bot yang setakat ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh di perairan Amerika Selatan sejak September lalu.
Jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell berkata dalam satu kenyataan bahawa ketibaan USS Gerald R Ford dengan lebih 4,000 kelasi dan puluhan pesawat taktikal akan meningkatkan keupayaan Amerika untuk mengesan, memantau serta menghalang aktiviti serta pelaku haram di rantau tersebut.
“Pasukan ini akan memperkukuh dan menambah keupayaan sedia ada untuk mengganggu penyeludupan dadah serta melemahkan dan memusnahkan organisasi jenayah rentas negara,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengumumkan apa yang digelar sebagai ‘pengerahan besar-besaran’ pasukan darat, laut, udara, sungai dan peluru berpandu serta militia awam bagi menentang kehadiran tentera laut AS di perairannya.
Caracas kelmarin mengumumkan fasa baharu pengerahan tenteranya terhadap apa yang digelar sebagai ‘ancaman penjajahan’ AS, dengan stesen televisyen negara menyiarkan rakaman pemimpin tentera memberi ucapan di beberapa negeri. – AGENSI














