ALOR SETAR – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini membangkitkan tentang isu kesihatan mental lelaki di negeri ini yang disifatkan sebagai bom jangka yang perlu ditangani segera.
Shamsilah Siru (PN-Ayer Hangat) berkata, sehubungan itu kerajaan negeri dan kementerian berkaitan perlu menangani segera isu tersebut dengan menjadikannya sebagai agenda utama dalam mewujudkan masyarakat sihat daripada segi fizikal dan mental.
“Isu ini jadi kerisauan kerana benda yang dahulu jauh dengan kita sekarang menjadi bom jangka. Boleh jadi ada dalam kalangan kita ini yang mengalami kemurungan, gangguan fikiran dan berada dalam tekanan dan sebagainya.
“Contoh seperti yang berlaku di Pida 3, Jerlun baru-baru ini wajar diambil iktibar. Maka suka saya sarankan agar kesihatan mental lelaki diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan kementerian berkaitan supaya menjadi agenda penting dengan mewujudkan masyarakat yang sihat fizikal dan mental agar kejadian ngeri ini tidak akan berulang,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet Kedah 2026 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini
Beliau menambah, seperti wanita, kaum lelaki kini wajar diperkasakan daripada pelbagai program untuk memajukan diri masing-masing.
“Dari setahun ke setahun wanita sentiasa diperkasakan dengan pelbagai program untuk memajukan diri golongan tersebut. Namun yang menjadi isu akhir-akhir ini adalah masalah mental kaum lelaki yang dilihat semakin serius,” katanya.
Isu kesihatan mental lelaki itu juga dibangkitkan Datuk Najmi Ahmad (PN-Kupang) yang membangkitkan kejadian bunuh diri seorang lelaki yang baru melangsungkan perkahwinan di kawasannya baru-baru ini.- KOSMO! ONLINE














