SEBERANG PERAI – Tindakan pantas dua pegawai bomba menyelamat seorang wanita yang dibawa arus sebelum tersangkut di tepi semak berhampiran paya di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor, di sini wajar mendapat pujian.
Kejadian pada pukul 12.35 tengah hari itu berlaku ketika Penolong Penguasa Bomba (PgKB) Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba Zainudin Abu Bakar dari Bahagian Penyiasatan Kebakaran Zon 4 Butterworth dalam perjalanan pulang menyiasat satu kes kebakaran.
Mereka terserempak dengan dua waris mangsa yang sedang mencari anak mereka di lokasi tersebut. Difahamkan, mangsa berusia 23 tahun tidak pulang ke rumah sejak semalam, namun motosikal miliknya dijumpai di tepi jalan.
Berbekalkan jiwa penyelamat, kedua-dua mereka segera membantu sebelum menemui mangsa kira-kira 100 meter dari motosikalnya dalam keadaan tersangkut di tepi semak berhampiran paya. Mangsa dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam paya sebelum dihanyutkan arus.
Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dan Kementerian Kesihatan kemudian kemudiannya dihubungi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang cedera pada kaki selain patah tangan sebelum dihantar ke hospital.
Menurut Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, PgKB II Rosli Zakaria, naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini.
“Ia membuktikan komitmen pasukan bomba yang sentiasa bersiap sedia, bukan sahaja ketika menerima panggilan kecemasan, tetapi juga dalam situasi harian,” katanya. -KOSMO! ONLINE














