fbpx
Mohd. Zaidi (kiri) meninjau persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka di Bukit Katil, Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Banyak pili bomba diturap kontraktor, 29 kompaun dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Sebanyak 29 kompaun dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sepanjang tahun ini sehingga Oktober terhadap pelbagai kesalahan melibatkan pili bomba termasuk perbuatan vandalisme.

Pengarah JBPM Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, kebanyakan kesalahan membabitkan pili bawah tanah yang diturap atau ditimbus ketika kerja penyelenggaraan jalan oleh kontraktor, menyebabkan ia tidak dapat digunakan semasa kebakaran.

“Daripada jumlah itu, 19 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana menutup, mengepung atau menyembunyikan pili bomba serta menggunakannya selain untuk tujuan memadam kebakaran.
“Selain itu, 10 kompaun lagi turut dikeluarkan di bawah Seksyen 55 akta sama kerana merosakkan, menyembunyikan, mengaktifkan atau menyahaktifkan penggera kebakaran tanpa sebab munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka bagi bulan November 2025 dan Pelancaran Persiapan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Melaka, Bukit Katil, hari ini.

Jelasnya, kebanyakan kesalahan tersebut adalah kali pertama dilakukan membabitkan kompaun berjumlah RM100 hingga RM200, manakala jika berulang kompaun boleh dikenakan sehingga RM500.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang cuai hingga menjejaskan keberkesanan operasi bomba.

“Kita akan meningkatkan kerjasama dengan kontraktor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan semua pili bomba sentiasa berada dalam keadaan baik serta tidak diubahsuai tanpa kebenaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata JBPM Melaka kini berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 13 November ini hingga Mac tahun depan.

Katanya, seramai 450 pegawai dan anggota beruniform serta 50 pegawai sokongan sudah bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi bencana terutama di 106 lokasi yang dikenal pasti berisiko banjir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN