TANAH MERAH – Sindiket penyeludupan tidak sempat meraih keuntungan hasil jualan sebanyak 1,400 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM56,000 selepas polis merampas kesemua barangan tersebut di tapak pembinaan rumah di Kampung Chedok, Bukit Bunga di sini semalam.
Rampasan daun ketum yang berada di dalam sebuah van jenis Toyota Hiace itu dijalankan kira-kira pukul 8 malam apabila polis mengesan kenderaan berkenaan ditinggalkan di tapak pembinaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, anggota polis menjalankan rondaan di kawasan itu selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan daun ketum.Menurutnya, anggota polis kemudian menjumpai sebuah van berwarna putih yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tapak pembinaan rumah itu.
“Pemerhatian melalui cermin depan van itu mendapati ada bungkusan plastik berwarna hitam. Tindakan anggota polis yang membuka skru penyelak kunci pada bahagian belakang kenderaan itu membawa kepada penemuan bungkusan plastik yang berisi 1,400 kg daun ketum,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, van dan kesemua daun ketum yang bernilai RM56,000 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan siasatan lanjut.
Menurutnya, polis sedang mengenal pasti dan mengesan pemilik van termasuk barang rampasan tersebut. – KOSMO! ONLINE














