fbpx
Amirudin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persimpangan bertingkat Eco Grandeur di Kuala Selangor hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Tiada rundingan lanjut pampasan WCE, harap penduduk akur – MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Tiada sebarang rundingan lanjut berhubung jumlah pampasan terhadap 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang dekat sini yang terlibat dengan pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua proses telah dilalui sepenuhnya termasuk nilaian pampasan yang dilakukan pihak penimbang tara.

“Sudah pergi ke mahkamah, bawa bincang dan sebagainya. Ia (pampasan) bukan ditentukan pihak pemaju sebaliknya penimbang tara yang saya rasa menilai dengan saksama dan adil. Jadi kena terima Hakikat itu.

“Dan saya berharap semua bertanggungjawab menyelesaikannya dan Kerajaan negeri akan assist sebaik mungkin pihak kerajaan kerana ini (WCE) menghubungkan dan mempunyai nilaian ekonomi yang besar.

“Takkan 150 meter (yang tergendala dalam pembinaan WCE di Kampung Jawa itu) akan mengehadkan atau hentikan seluruh jajaran yang bukan masalah nilai projek tetapi menyelesaikan masalah komunikasi dan perhubungan dari Selatan (Banting, Kuala Langat) hingga Utara (Taiping, Perak),” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merasmikan persimpangan bertingkat Eco Grandeur di sini.

Menurut Amirudin, tempoh lanjutan terakhir selama dua minggu bagi pengosongan lokaliti terlibat disifatkan sudah memadai kepada penduduk.

“Ya, dua minggu ini sudah cukup sebab saya telah bawa bincang dan mereka minta permintaan terakhir. Dan saya sudah benarkan.

“(Kalau tempoh terakhir mereka tidak berpindah?) Ini telah melalui proses pengambilan kerajaan dan melibatkan ribuan orang yang perlu mendapat faedah. Saya rasa dengan sewaan rumah ditawarkan telah diberikan nilai secukupnya,” katanya.

Ketika ditanya sama terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjadikan isu ini sebagai polemik kaum, beliau menegaskan, pihaknya bertindak demi kemaslahatan umum.

“Ia boleh jadi polemik kaum dan politik. Saya harap mereka juga memikirkan kerana tiada gunanya mendapat keuntungan politik dalam tempoh yang sempit namun dalam jangka panjang beri impak tidak baik kepada ribuan orang,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan segelintir daripada 19 pemilik tanah yang terlibat dalam laluan pembinaan WCE tetap berpendirian enggan berpindah kerana mendakwa nasib mereka masih tidak terbela termasuk dari segi pampasan dan lokasi rumah gantian masih kabur.

Keengganan 19 pemilik tanah itu menjadi punca utama projek WCE Seksyen 3 tersebut tergendala meskipun lebih 90 peratus siap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN